Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran

Tarikh: 10 Mei, 2008
Masa: 4:30 pm ~ 5:20 pm

Satu majlis penyampaian sumbangan kepada En: Ravi
Chandran, mangsa kebakaran rumah pada 7 Mei, 2008 yang
lalu telah diadakan di Rimau Indah. Majlis telah
dihadiri oleh mangsa bersama keluarga, En: Anthony Das
(Timb. DUN), En: Fauzi (Ketua JDM), En: Paizal (Timb.
Ketua JDM), En: Hassan Ali (Ketua Penduduk selaku AJK
JDM) dan Hj. Azman (AJK JDM).
Sebelum majlis penyerahan sumbangan, telah
diadakan satu lawatan ke rumah mangsa bagi melihat
keadaan dengan lebih jelas. Majlis penyerahan
sumbangan berupa sedikit wang tunai dan keperluan
harian sumbangan dari penduduk-penduduk di dalam JDM
Bukit Rimau. Sumbangan telah disampaikan oleh En:
Anthony Das kepada En: Ravi bertempat di dewan orang
ramai Apt Rimau Indah. En: Hassan Ali selaku ketua
penduduk telah membenarkan mangsa untuk mendiami bilik
gerakan sebagai penempatan sementara sehingga pihak
ansuran membayar pampasan dan rumah beliau dapat
diperbaiki. En: Ravi dijangka akan berpindah ke bilik
gerakan pada 11 mei, 2008. Pihak JDM Bukit Rimau akan
terus membantu apa yang termampu bagi meringankan
beban mangsa.


Aduan: Pembakaran Terbuka di JDM Bukit Rimau

No Aduan: 006/05/08
Tarikh: 8 May, 2008

Sering berlaku pembakaran terbuka oleh pihak yang
tidak bertanggung-jawab di Jln Bkt Rimau (berhampiran
Tmn Saduran Bkt Kemuning). Kawasan ini agak tersorok
dan semak. Ini memudahkan aktiviti pembakaran oleh
pihak yang tidak bertanggung-jawab.


Aduan: Laporan Kebakaran rumah En: Ravi di Apartment Rimau Indah

No Aduan: 005/05/08
Tarikh: 7 May, 2008

Telah berlaku satu kebakaran rumah En: Ravi
Chandran a/l Veeramalai di Apartment Rimau Indah pada
7 May, 2008 lebih kurang pukul 8:45 malam. Kebakaran
disedari oleh jiran-jiran beliau yang bertindak untuk
menghubungi pihak bomba, polis dan TNB dan jiran-jiran
juga bertindak untuk memadamkan api dari menjadi lebih
serius. Siasatan dari pihak TNB mendapati bahawa fius
meter yang terletak di tingkat bawah tidak berfungsi
untuk memutuskan pengaliran arus elektrik semasa
kejadian litar pintas kerana terdapat penyambungan
wayar pada fius oleh pihak yang tidak
bertanggung-jawab. Atas nasihat pihak TNB, satu
laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 15,
Shah Alam untuk memaklumkan mengenai kebakaran ini dan
juga penyambungan wayar yang tidak sah pada fius
meter. Siatan lanjut pihak TNB juga mendapati,
terdapat beberapa rumah lagi yang mempunyai fius meter
disambung dengan wayar yang serupa. Pihak JDM dan
Persatuan Penduduk akan menggesa pihak TNB untuk
melakukan pemeriksaan secepat mungkin kepada semua
fius meter di setiap blok untuk mengelakkan
kemalangan/kebakaran dari berulang pada rumah-rumah
yang lain. Fius meter ini berada di dalam kandang besi
yang berkunci yang tidak boleh diakses oleh sesiapa
kecuali pihak2 yang tertentu sahaja.
Pihak JDM Bukit Rimau telah memaklumkan kepada
pihak DUN & Pejabat YB, dan semasa malam kebakaran,
En: Kamarulzaman & En: Zaidi yang mewakili DUN telah
hadir untuk melihat sendiri keadaan pada masa
tersebut. Pihak JDM telah meminta agar pihak DUN
memberi pertolongan yang termampu untuk meringankan
beban yang ditanggung oleh mangsa. Bantuan sedang
diusahakan dan satu pertemuan dengan mangsa akan
diaturkan secepat mungkin dalam masa terdekat untuk
memeberi sokongan moral dan bantuan apa yang termampu
demi meringankan beban yang ditanggung beliau.
Kerugian adalah ditafsirkan lebih kurang RM 80,000.
Laporan susulan mengenai status/respon dari pihak
TNB dan bantuan yang diberi akan diberikan kemudian.






Lagi Laporan Susulan Majlis Dialog Bersama YB

Akhbar Sinar Harian hari ini sekali lagi menyiarkan satu lagi laporan susulan kepada Majlis Dialog Bersama YB 1 Mei lalu.

Kali ini tumpuan laporan adalah atas isu kes denggi serta tadika tidak berlesen sepertimana yang ditimbulkan oleh para penduduk semasa majlis tersebut.

Kliklah atas gambar diatas untuk membaca laporan penuh itu.

Liputan Berterusan Sinar Harian

Sekiranya pada Sabtu lalu, satu artikel kecil berkaitan tapak Balai Polis Bukit Rimau disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, akhbar itu sekali lagi meneruskan liputannya dengan menyiarkan satu lagi artikel bertajuk "Penduduk upah pengawal" dalam naskhah kelmarin (Ahad, 4 Mei).

Liputan ini yang dibuat semasa majlis Dialog Bersama YB tempohari memberikan tumpuan kepada soal keselamatan, salah satu isu yang ditimbulkan oleh Sdr. Yusman serta dijawab oleh Cif Inspektor Khairoulnajmi.

Kliklah atas gambar di atas dan bacalah laporan tersebut.

Respons Segera PDRM

Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa kawasan tapak pembinaan Balai Polis Bukit Rimau akan dibersihkan segera.

Isu ini telah dibangkitkan oleh salah seorang penduduk pada majlis Dialog Bersama YB 1 Mei lalu.

Berikut adalah laporan penuh Sinar Harian :-

BUKIT RIMAU - Kawasan tapak pembinaan Balai Polis Bukit Rimau, ditumbuhi semak dan terbiar menyebabkan penduduk risau dengan keadaan itu kerana dikhuatiri menjadi sarang binatang berbisa dan pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaludin berkata, kawasan itu yang kini dipebuhi semak akan dibersihkan segera, walaupun tarikh pembinaan bangunan balai itu belum diketahui.

"Kita akan memastikan kawasan itu bersih demi menjaga keselamatan penduduk yang melalui kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah mewujudkan balai komuniti di sekitar kawasan tersebut untuk memudahkan orang ramai melaporkan kepada polis jika berlaku kejadian jenayah.

Dialog Bersama YB

Setelah bahang pilihanraya sudahpun reda, maka kini tibalah masanya bagi wakil-wakil rakyat yang menang menunaikan segala janji yang ditaburkan tempohari atau setidak-tidaknya pun memulakan usaha untuk mengotakan janji-janji itu.

Sesuai dengan motto pasukan Pakatan Rakyat yang ingin memerintah mengikut kehendak rakyat atau setidak-tidaknya menjaga kepentingan rakyat umum, satu inisiatif untuk mempertemukan semula wakil-wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya umum yang baru lalu dengan para pengundi yang telah memertabadkan wakil-wakil rakyat ini sebagai YB baru mereka telah dibuat oleh Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) Bukit Rimau, sebuah jawatankuasa yang baru sahaja diujudkan baru-baru ini.

Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) Bukit Rimau ini dianggotai oleh wakil-wakil masyarakat sekitar Daerah Mengundi Bukit Rimau yang merangkumi sebahagian seksyen 32 Shah Alam yaitu Kemuning Greenville, Kemuning Greenhills, Berjaya Park, Rimau Indah, Rimau Perdana serta Bukit Rimau sendiri.

Diketuai oleh Sdr. Fauzi, jawatankuasa ini walaupun bertunjangkan platform politik Pakatan Rakyat, namun anggota-anggotanya tidaklah khusus kepada ahli-ahli parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Falsafah "Politik bukanlah segalanya" tapi keadilan dan kesejahteraan rakyat lebih utama, nyata penekatan pentadbiran baru negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat amat disenangi rakyat. Buktinya hampir 300 orang penduduk Bukit Rimau sudi melapangkan masa riadah mereka di hari cuti umum untuk menghadiri satu Majlis Dialog Bersama YB yang dianjurkan oleh JDM ini.

Kehadiran ramai penduduk di satu majlis yang biasanya sukar dapat dipenuhi memberi semangat baru kepada JDM untuk terus merancang beberapa lagi program sosial yang bakal melibatkan semua penduduk berbagai kaum dan kejiranan untuk masa kehadapan.

Sdr. Fauzi dalam ucapan alu-aluannya memperkenalkan institusi JDM yang antara lain akan berfungsi selaku jambatan komunikasi penduduk dengan wakil-wakil rakyat baru ini serta mengusahakan segala permasalahan penduduk dengan pihak-pihak berkuasa yang lain melalui wakil-wakil rakyat baru ini.

Menurut Sdr. Fauzi, beliau amat mengharapkan agar penduduk menggunakan majlis yang dianjurkan itu untuk memberikan input yang bernas kepada wakail-wakil rakyat baru untuk mereka memahami permasalahan akar umbi rakyat dan serentak dengan itu dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikannya dengan berkesan.

Dengan jemputan utama terdiri dari YB Dr. Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja) serta YB Shuhaimi Hj Shafie (Ahli DUN Sri Muda), majlis diperlengkapkan juga dengan kehadiran Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mazalan Md. Noor serta Ketua Polis Balai Seksyen 15 Shah Alam, Cif Inspektor Khairoul Najmi Jaafar.

Setelah setiap seorang tetamu utama menyampaikan ucapan pendahuluan masing-masing, dialog dimulakan dengan Sdr. Fauzi selaku pemudahcaranya.

Berbagai isu diketengahkan dan diantaranya menyentuh soal keselamatan serta mutu syarikat-syarikat keselamatan yang mengawal kawasan-kawasan kediaman sekitar, kesibukan lalulintas di Persiaran Sungai Selangor, masalah banjir di Bulatan Bukit Rimau, kes-kes denggi serta puncanya, keujudan premis tadika tanpa berlesen, keujudan Akta-akta serta Undang-undang Kecil yang tidak memihak kepada rakyat atau yang memberi ruang kepada unsur-unsur yang tidak sihat seperti salahguna kuasa dan rasuah,ketiadaan Dewan Orang ramai di Bukit Rimau, kebanjiran pendatang asing ke dalam negara, masalah pembekalan air di kawasan Apartmen, gejala ponteng, lepak dan samseng pelajar sekolah, masalah jerubu, penyelenggaraan taman-taman permainan, status tanah perkuburan Islam Kota Kemuning dan tidak ketinggalan soal pembiayaan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil.

Respons yang diberikan terhadap permasalahan-permasalahan tersebut adalah seperti berikut :-

Soal Keselamatan serta Mutu Syarikat-syarikat Keselamatan
Menurut Cif Inspektor Khairoul, semua syarikat-syarikat keselamatan yang menawarkan kidmat di kawasan-kawasan perumahan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Walaupun mungkin terdapat beberapa syarikat-syarikat ini yang melanggar peraturan KDN seperti menggaji pengawal warganegara asing selain dari negara-negara yang dibenarkan, pihak polis selama ini mengambil sikap berlembut terhadap syarikat-suarikat ini dengan tidak mengganggu operasi mereka bagi mengormati kehendak penduduk yang inginkan kawasan-kawasan perumahan mereka dikawal oelh syarikat-syarikat keselamatan ini.

Namun demikian, pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima apa-apa aduan berkaitan syarikat-syarikat keselamatan ini dari penduduk.

Beliau juga menambah yang tahap keselamatan di Bukit Rimau dan sekitarnya buat masa ini adalah baik dan terkawal. Atas pertanyaan salah seorang penduduk, beliau juga akan menghantar pegawainya untuk menyiasat kawasan tapak Balai Polis Bukit Rimau yang selama ini terbiar. Sekiranya perlu, langkah-langkah pembersihan akan dilakukan.

Dimaklumkan bahawa nombor-nombor telefon pondok-pondok polis di Berjaya Park dan Kota Kemuning tidak tersenarai dalam Direktori 103, beliau menyatakan yang ianya akan disemak dengan Telekom Malaysia dan usaha akan dibuat bagi menyenaraikannya dalam Direktori tersebut.

Datuk Bandar Mazalan turut menjelaskan bahawa terdapat peraturan yang berbeza bagi kawasan perumahan berhak milik strata dengan hak milik individu. Kawasan Perumahan berhak milik strata dibolehkan memagarkan kawasan perumahan mereka sebagai kawasan persendirian tetapi tidak kepada kawasan perumahan berhak milik individu. Kawasan perumahan berhak milk individu adalah kawasan awam dan dengan itu tidak boleh dipagar seolah-olah ianya satu kawasan persendirian.

Pihak Majlis Bandaraya walaubagaimanapun tidak menghalang pendirian pondok-pondok keselamatan tanpa palang penghalang bagi mempertingkatkan tahap keselamatan setempat.

Kesibukan lalulintas Persiaran Sungai Selangor
Menjawab cadangan salah seorang penduduk supaya trafik di Persiaran Sungai Selangor dilarang digunakan oleh lori-lori tangki, Datuk Bandar Mazalan menjelaskan yang ianya sukar dibuat memandangkan jalan tersebut adalah jalan awam.

Banjir di Bulatan Bukit Rimau
Dalam pada masa pihak MBSA mengambil maklum tentang masalah ini, penduduk diberitahu oleh YB Shuhami bahawa beberapa perbincangan dengan pihak JPS telahpun dibuat bagi mencari jalan penyelesaian kepada lokasi-lokasi banjir yang telah dikenalpasti. Beliau yakin dengan beberapa lagi tindakan susulan, masalah ini akan dapat diatasi.

Kes-kes Denggi serta puncanya
MBSA mengambil maklum satu aduan yang dikemukakan penduduk berkaitan penutup "Inspection Chamber" milik Telekom Malaysia yang dibiarkan terbuka dan mungkin membiakkan jentik-jentik. Lawatan akan dibuat ke tapak yang berkenaan dan tindakan susulan dijanjikan.

Sementara itu Datuk Bandar Mazalan memohon kerjasama penduduk memastikan tiada tempat takungan air di premis serta persekitaran masing-masing.

Keujudan Premis Tadika Tanpa Berlesen
Datuk Bandar Mazalan memohon maaf atas keujudan satu premis Tadika tanpa berlesen di Kota Kemuning yang berterusan walaupun telah dibantah penduduk sejak tiga tahun lalu. Beliau memohon tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

Keujudan Peruntukan Akta / Undang-Undang Kecil "Negatif"
YB Shuhaimi berjanji akan mengenalpasti mana-mana peruntukan Akta atau Undang-undang Kecil yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat atau yang memberi ruang kepada penyalah gunaan kuasa atau rasuah dan seterusnya memajukan cadangan-cadangan agar peruntukan-peruntukan itu dipinda.

Ketiadaan Dewan Orang Ramai di Bukit Rimau
Datuk Bandar Mazalan mengesahkan bahawa pihak MBSA tidak mempunyai peruntukan yang cukup bagi mendirikan Dewan-dewan Orang Ramai yang baharu memandangkan peruntukan sediada hanya cukup bagi menampung kos penyelenggaraan sahaja. Beliau berharap pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru dapat melakukan sesuatu bagi membantu MBSA melaksanakan projek-projek kemasyarakatan yang baru.

Kebanjiran Pendatang Asing
YB Mariah bersetuju dengan pandangan seorang penduduk yang kelemahan peraturan imigresen negara adalah salah satu punca kebanjiran pendatang asing di negara ini. Beliau akan menggunakan platform Ahli Parlimen beliau untuk terus menerus menyuarakan hasrat rakyat agar permasalahan ini ditangani dengan sesempurna mungkin.

Masalah Pembekalan Air Apartment
Datuk Bandar Mazalan memaklumkan bahawa peraturan baru yang berkuatkuasa mulai April lalu bakal menyelesaikan beberapa masalah yang berhubungkait dengan pemaju atau pengurusan Apartmen.

YB Shuhaimi pula mengesyorkan agar Persatuan-persatuan Penduduk bagi sesetiap blok bergabung bagi mencapai tahap "kekuatan" yang lebih dalam berdepan dengan pemaju atau pengurus Apartment yang degil atau yang bermasalah.

Menurut beliau lagi, di peringkat pentadbiran Negeri, satu pelan sedang dirancang bagi "mengharamkan" mana-mana pemaju degil serta bermasalah dari mendapat projek-projek perumahan baharu dalam Negeri Selangor.

Gejala Ponteng, Lepak dan Samseng Pelajar Sekolah
Cif Inspektor Khairoul menyatakan yang pihaknya tidak mempunyai kuasa khusus dalam menangani masalah-masalah ini. Oleh yang demikian, pendekatan pihak polis selama ini hanyalah setakat memberi nasihat kepada pelajar-pelajar terbabit melalui pegawai perantara polis yang dijudkan disetiap sekolah.

YB Shuhaimi mencadangkan supaya pihak polis sekurang-kurangnya membuat lawatan berkala ke tempat-tempat yang dikenalpasti sebagai tempat "favourite" pelajar-pelajar itu berlepak agar pelajar-pelajar itu tidak akan lagi menjadikan tempat-tempat itu sebagi stesyen mereka.

Masalah Jerebu

YB Shuhami memberitahu penduduk bahawa sememangnya punca-punca jerebu di kawasan Bukit Rimau dan sekitar telahpun dikenalpasti. Pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak DOE untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Masalah yang berpunca dari pembakaran sampah sarap di tempat pelupusan sampah haram akan diberikan keutamaan manakala masalah jerebu yang berpunca dari pembakaran terbuka kawasan pertanian akan cuba ditangani sebaiknya.

Walau apa-apapun, kedua-dua punca jerebu ini terletak diluar kawasan pentadbiran MBSA, demikian dijelaskan oleh Datuk Bandar Mazalan.

Penyelenggaraan Taman Permainan
Datuk Bandar Mazalan mengesahkan yang penyelenggaraan Taman-taman permainan adalah terletak dalam bidangtugas MBSA. Pihak MBSA akan melawat semua tapak-tapak taman permainan dan akan mengambil tindakan-tindakan perlu.

Status Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning
Datuk Bandar Mazalan menjelaskan yang tanah perkuburan itu sedang dalam kes mahkamah dan dijangka disebut sekali lagi pada bulan Julai nanti. Beliau mengesyorkan penduduk menggunakan kemudahan tanah perkuburan moden pelbagai agama di Seksyen 21 sementara menanti hasil keputusan mahkamah terhadap kes tersebut.

Isu Pembiayaan Sekolah Aliran Cina dan Tamil
YB Dr. Mariah memberitahu penduduk yang isu ini sekarang sedang diperjuangkan oleh MCA. Selaku pembangkang yang bertanggungjawab, segala cadangan yang dibawa oleh MCA berkaitan sekolah aliran cina dan tamil akan disokong oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Begitulah berakhirnya kupasan isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk. Sesungguhnya apa yang nyata adalah kepuastian penduduk terhadap tahap komitmen YB serta Datuk Bandar serta Cif Inspektor dalam menyelesaikan masalah mereka.

Seperti biasa, mana bisa majlis berakhir tanpa santapan. Ya, jamuan secara ala kadar yang disediakan secara bergotong-royong serta sumbangan beberapa orang penduduk dijamah penduduk perbagai kaum dengan riang dan gembira.

Dalam mengucapkan selamat tinggal kepada YB-YB baru mereka kedengaran suara-suara "jangan lupa datang lagi" ditujukan kepada YB-YB baru itu.

Satu lagi projek kemasyarakatan yang berjaya - tahniah kepada JDM pimpinan Sdr. Fauzi



Jasni AJ