Majlis Pecah Tanah & Doa Selamat Surau An-Namira Bukit Rimau

YB Shuhami melakukan upacara Pecah Tanah dengan menggunakan jentera pengaut
Penantian lapan tahun penduduk Islam Bukit Rimau yang mengimpikan terbangunnya surau di kariah mereka kini sudah hampir berakhir.

Hari ini, Ahad 29 Jun 2008, Adun Sri Muda, YB Shuhami menghadiri serta menyempurnakan Majlis Pecah Tanah & Doa Selamat Surau An-Namira Bukit Rimau bagi menandakan bermulanya pembangunan fizikal surau tersebut.

Dalam ucapannya sebelum melakukan upacara pecah tanah tersebut, YB Shuhaimi mengingatkan ahli kariah supaya sentiasa bersatu padu dalam mempertingkatkan ukhwah islamiah tanpa mengambil kira kecenderungan fahaman politik masing-masing. Selaku pusat kegiatan Islam setempat, institusi surau dan masjid haruslah merupakan satu institusi yang bebas dari sebarang pengaruh politik yang dikhuatiri mampu mengganggu gugat kesejahteraan setempat.

YB Shuhaimi (kanan) mengaminkan doa yang dipimpin oleh Ustaz Sobri (kiri)
Islam, menurut beliau, menuntut penganutnya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan jiran. Penganut adalah dipertanggungjawabkan agar sentiasa memastikan kebajikan jiran tanpa mengambilkira anutan agama masing-masing. Berdasarkan ajaran itu, fahaman politik yang berbeza dikalangan jiran tidak harus dijadikan sebab untuk tidak mengimarahkan institusi surau.

Surau An-Namira, apabila siap nanti, disyorkan supaya menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan disamping turut cergas mengendalikan aktiviti-aktiviti yang bercorak kemasyarakatan.

Bercakap bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor pula, beliau memaklumkan bahawa pihak kerajaan disamping meneruskan dasar kerajaan dahulu yang mensyaratkan kemudahan surau disediakan oleh pemaju masing-masing, ianya kini mengambil sikap yang lebih terbuka dalam hal pembangunan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama-agama lain.

Tambah beliau, ujudnya rumah-rumah ibadat untuk setiap penganutnya adalah sesuatu yang dapat menjamin kebebasan serta kesejahteraan masyarakat dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Beliau mengakhiri ucapan dengan mengajak ahli kariah menyumbangkan dana kepada Jawatankuasa Pembangunan Surau bagi membolehkan Jawatankuasa tersebut melengkapkan kemudahan surau apabila siap nanti. Untuk tujuan itu, sumbangan pejabat Adun Sri Muda sebanyak RM1,000 telahpun dijanjikan.

Hadirin menikmati jamuan yang disediakan secara "potluck"
Surau An-Namira dijangka siap dalam tempoh 16 minggu (akhir bulan Oktober 2008). Rekabentuknya adalah mengikut citarasa Ahlijawatankuasa Pembangunan Surau An-Namira yang terdiri dari kalangan ahli kariah. Ianya kini dibangunkan atas pembiayaan pemaju Bukit Rimau hasil dari rundingan dengan Jawatankuasa Pembangunan An-Namira sejak dua tahun lalu.

Jasni AJ

Sila lawati http://annamira.blogspot.com/ untuk liputan bergambar.

Sambutan 100 hari Pentadbiran Kerajaan Baru Selangor


Semua dijemput hadir.

Tiang Lampu Tumbang di Persiaran Sg Selangor

Pihak JDM Bukit Rimau telah melaporkan kejadian tiang lampu tumbang di Persiaran Sg Selangor yang dilanggar kenderaan kepada pihak berwajib (MBSA). Tiang tersebut telah dialihkan pada petang 9 Jun 2008 yang lalu.
Pada malam yang sama juga, lampu jalan di Persiaran Sg Selangor dan Jln Sg Congkak 32/42, 47 & 48 telah pulih dan menyala seperti biasa.

Masalah Jerebu


Akhbar Sinar Harian pada 5 Jun 2008 yang lalu menyiarkan satu lagi laporan berkaitan dengan salah satu aduan semasa Majlis Dialog Bersama YB 1 Mei 2008 yang lalu iaitu masalah jerebu. Kliklah atas gambar diatas untuk membaca laporan penuh itu.

Susulan Aduan Semasa Dialog 1 Mei 2008 yang lalu



Berikut adalah beberapa tindakan yang telah dilakukan oleh pihak berwajib atas beberapa aduan semasa dialog 1 Mei yang lalu.



Kesesakan lalulintas di Persiaran Anggerik Eria selepas pengumuman kenaikan harga petrol 4 Jun 2008

Ramai yang berpusu-pusu dan terpaksa beratur panjang bagi menikmati saat-saat akhir RM 1.92 / liter.

Kenyataan Rasmi JDM Bukit Rimau megenai isu kenaikan harga minyak

JDM Bukit Rimau membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan Malaysia menaikan 40% harga petrol yang berkuat-kuasa pada 5 Jun, 2008. Kenaikan sebanyak 78 sen seliter adalah amat membebankan golongan rakyat pertengahan dan bawahan. Dengan kadar inflasi yang tinggi dan isu kenaikan harga barang seperti beras, tepung dan lain-lain yang masih belum berjaya diselesaikan sepenuhnya, keputusan menaikkan harga minyak ini adalah tidak masuk akal dan tidak dapat diterima oleh rakyat sama-sekali.
Alasan kenaikan minyak global adalah tidak dapat diterima kerana seperti komen dari Dato' Seri Anwar Ibrahim dan telah disokong oleh kenyataan Tun Mahathir di dalam blog beliau, pendapatan keuntungan hasil penjualan minyak negara melebihi 70 Billion setahun adalah lebih dari cukup untuk mentadbir negara ini. Kenaikan minyak global sebenarnya memberi limpahan rezeki dan pendapatan yang cukup lumayan kepada kerajaan Malaysia buat masa ini. Lagi tinggi harga minyak global, maka lagi berlipat-kali gandalah keuntungan pendapatan negara.
Sebelum hak rakyat diambil bagi mengatasi masalah kewangan negara, isu2 besar seperti rasuah, sebut-harga tender kerajaan yang melampau dan tidak logik, projek mega kerajaan seperti Monsoon Cup, elaun2 orang-orang kenamaan, kos bagi majlis2 rasmi kerajaan, pembaziran pertunjukan bunga api sewaktu sambutan kemerdekaan dan tahun baru dan berbagai-bagai pembaziran lagi perlulah diambil tindakan dahulu. Pengurusan berhemah perlulah dilakukan. Sebelum pihak kerajaan menasihati rakyat untuk mengubah cara hidup, sepatutnya pihak kerajaan terlebih dahulu yang membuat perubahan cara hidup para menterinya untuk dijadikan contoh dan tauladan kepada rakyat. Sanggupkah para2 menteri dipotong elaun minyak 100% dan mereka diminta untuk membayar minyak pada harga bukan subsidi setiap hari sehingga mereka meletak jawatan atau tidak dipilih semula menjadi wakil rakyat. Sanggupkah para2 menteri dipotong gaji mereka, diberhentikan segala elaun yang ada, dan biarkan
mereka menjalani kehidupan seperti 25 juta rakyat Malaysia yang lain yang rata-rata amat tertekan dengan kos sara hidup masa kini.
JDM Bukit Rimau menyokong penubuhan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes). Setiap langkah dan aktiviti yang akan diambil oleh Protes untuk mendesak kerajaan menurunkan semula harga minyak akan disokong. JDM Bukit Rimau berharap agar Protes dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk tampil ke hadapan untuk membela nasib rakyat yang ditindas pada masa ini ekoran kenaikan harga minyak dan barang keperluan yang lain.
Desakan penurunan semula harga minyak ini melibatkan semua golongan, bangsa dan apa jua ideologi politik masing-masing tidak kira dari pihak Pakatan Rakyat ataupun ahli-ahli dari parti BN. Manfaat yang diterima adalah untuk semua dan bukannya untuk golongan yang tertentu.
JDM Bukit Rimau telah memaklumkan kepada YB DUN Sri Muda agar desakan ini disegerakan dan tidak menunggu sehingga 5 minggu lagi untuk memulakan langkah yang lebih drastik. Kekecewaan rakyat sudah sampai ke tahap maksimum dan rintihan ini baru sahaja bermula. Rintihan dan kekalutan yang lebih hebat akan menjadi lebih parah lagi di masa terdekat ini kesan dari kenaikan harga minyak ini. Pasti indeks jenayah akan meningkat, indeks tekanan perasaan/mental turut meningkat dan akhirnya akan melarat ke situasi di mana berlakunya kekalutan di dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat akibat dari kesan tsunami inflasi yang sedang menuju ke arah kita.

Lawan Tetap Lawan.
Lawan Demi Kebajikan Rakyat.

JDM Bukit Rimau